Pages

Tuesday, November 12, 2024

MAKLUMAT KHAS OLEH Major Meor Rosli KEPADA SEMUA VETERAN ATM, TERUTAMA YANG BERPENCEN SEBELUM 1JAN 2013

A Clearer Explanation By Major Meor Rosli On The Short Changing Of Streamlining The Pensions Of The Veterans By A Putar Alam
Melalui WhatsApp : Assalammualaikum dan salam sejahtera. Baru2 ini para veteran di kejutkan dengan beberapa video "Live" ucapan-ucapan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan (Menhan) tentang penyelarasan pencen untuk veteran ATM. Pengumuman Menhan (kerajaan sekarang) di parlimen kerap berubah setiap kali dia memberi penjelasan/jawapan di parlimen yang membuat saya menjadi keliru dari sudut perundangan negara.

Saya juga dapati bahawa Wakil Rakyat terutama dari pihak pembangkang tidak mempersoalkan kenyataan/jawapan Menhan yang tidak tepat atau salah dari sudut undang-undang. Saya tidak tahu adakah itu prosidur dewan atau Ahli dewan semua tidak tahu undang2 Perlembagaan Persekutuan atau ini adalah semata-mata perancangan/stratigi pihak kerajaan untuk mengalahkan pihak pembangkang atau melengahkan membayar peyelarasan pencen Veteran ATM.

Saya ingin memberi pandangan peribadi saya yang seberapa ringkas yang boleh supaya semua veteran dapat gambaran yang holistik/menyeluruh tentang apa yang berlaku. Dengan masa yang sama saya juga faham bahawa Para veteran juga keliru dengan kumpulan-kumpulan yang mengangap diri mereka perjuang veteran seperti kumpulan Timbangtara, kumpulan yang merujuk kepada kes pesara awam (Kes tuntutan Aminah) dan dua kes tuntutan Hakim-Hakim dalam isu pencen mereka, kumpulan yang diterajui oleh bekas Jeneral-Jeneral yang mempunyai agenda hendak tubuh parti politik, kumpulan persatuan Veteran terbesar yang berdaftar dengan JHEV dan hinggalah juga kumpulan2 veteran nyamok tetapi mendapat perhatian ramai. Saya tidak mahu huraikan satu persatu tentang mereka kerana ianya akan menjadi buku yang tebal.

APA YANG SAYA NAK TERANG DAN JELASKAN DI SINI HANYALAH TENTANG BEBERAPA UCAPAN-UCAPAN PM DAN MENHAN YANG SANGAT BERCANGGAH DAN JUGA TIDAK MENGIKUT UNDANG2 PERSEKUTUAN YANG DI BUAT DI PARLIMEN.

Secara ringkasnya saya hendak rujuk kembali kenyataan Menhan seperti berikut:

PERTAMA

YB Menhan sebelum yang sekarang telah menyatakan bahawa Kerajaan tidak mahu membincang isu penyelarasan pencen kerana ianya dalam perbicaraan Mahkamah. Beliau kata kerajaan akan akur apa sahaja keputusan Mahkamah. Tetapi apabila Mahkamah membuat keputusan meyebelahi Plaintif (saya,MMR dan 49 yang lain) dimana l Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Majlis Angkatan Tentera (MAT) gagal menjalankan tugasnya dan memerintah Penyelarasan hendaklah dibuat mulai dari 1hb Jan 2013, Kerajaan tidak setuju dengan keputusan mahkamah.

Malangnya apabila keputusan Mahkamah Tinggi di buat, defenden (Kerajaan, PM, Menhan dan MAT) terus mengambil keputusan untuk merayu ke Mahkamah Rayuan. Saya telah membaca permohonan rayuan Defenden dan mahkamah Rayuan membenarkan permohonan itu. Selepas permohonan itu di luluskan Perayu (defenden) telah menghantar Affidavit Sokongan Rayuan mereka. Saya sendiri telah membaca dan menjawab setiap alasan Perayu dan hantar kepada Peguam kami(Haniff Katri). Saya dapati tidak ada satu pun fakta undang-undang dalam Affidavit sokongan mereka. Semua alasan2 rayuan perayu hanya bersifat tidak puas hati sahaja.

KEDUA

Apabila Menhan sekarang (YB Khaled Nordin) ambil alih jawatan Menhan, beliau menyatakan bahawa perkara 41 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh di baca bersama Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan. Beliau kata perkara 41 hendaklah dibaca secara harmoni dengan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga menyatakan kenyataan beliau tersebut bukan datang dari beliau tetapi dari pejabat Peguam Negara. Dalam isu penyelarasan pencen ini SAYA DENGAN TEGAS MENYATAKAN BAHAWA KENYATAAN MENHAN ADALAH SALAH!

Perkara 41 adalah adalah Perkara yang terpendek dalam Perlembagaan Persekutuan, ianya sangat tegas, jelas dan tidak boleh di manupulasikan. ayat Perkara 41 berbunyi: "Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan." Tidak ada sub para atau penjelasan lain. Pada saya Perkara 41 ini hendaklah dibaca terlebih dahulu bersama perkara 32 (1) yang berbunyi: "Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah di beri keutamaan daripada segala orang didalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuh di bawah Bahagian XV." Kemudian Perkara 41 hendaklah dibaca secara harmoni dengan Perkara 137 dan bukannya Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 132 hanya menerangkan jenis2 perkhidmatan awam yang terdapat didalam Persekutuan. ATM adalah salah satu perkhidmatan Awam didalam Persekutuan. Secara amnya mengikut senarai kekananan, ATM adalah nombor satu terkanan/teratas didalam persekutuan. Semua Perkhidmatan Awam mempunyai Suruhanjaya kecuali Angkatan Tentera mempunyai Majlis."

Perkara 137 adalah Majlis Angkatan Tentera. Perkara 41 hendaklah dibaca secara harmoni kerana Perkara 137(1) yang berbunyi: "Maka hendaklah ada suatu Majlis Angkatan Tentera yang hendaklah bertanggungjawab di bawah KUASA AM YANG DI-PERTUAN AGONG bagi PEMERINTAHAN, TATATERTIB dan PENTADBIRAN angkatan tentera, dan segala perkara lain yang berhubungan dengannya SELAIN perkara yang berhubungan dengan pengunaan angkatan tentera bagi maksud OPERASI.

Bila kita baca Perkara 137, kita juga kena baca Perkara 139 ia itu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang juga berkaitan dengan "Perkhidmatan awam am Persekutuan" dalam Perkara 132(1)(c). Perlu di ambil perhatian menurut Perkara 139(1), bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tidak meliputi ATM dan Kehakiman. Perlu di tegaskan di sini bahawa JPA (Jabatan perkhidmatan Awam) atau Perkhidmatan Sivil (Civil Service) tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

KETIGA

Pada 5hb November 2024, Menhan telah berucap di Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia 2024 membabitkan 113 anak anggota ATM di Wisma Pertahanan dengan mengatakan " Warga baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menikmati skim persaraan meskipun kerajaan memperkenalkan skim baharu pencen perkhidmatan awam, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)." Tetapi yang peliknya pada 5hb Nob 2024, JHEV telah megeluarkan satu Buku Risalah digital bertajuk "Pelaksanaan Pelarasan Pencen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Veteran ATM." Buku digital yang di keluarkan oleh JHEV menerangkan kategori Persaraan yang Layak menerima peyelarasan pencen 2024.

Mengikut buku digital tersebut, mereka yang layak menerima peyelarasan pencen 2024 adalah seperti berikut:

(a). Veteran ATM yang bersara sebelum atau pada 1 Dis 2024.

(b). Veteran ATM yang meninggal dunia sebelum atau pada 30 Nob 2024.

Buku digital ini telah megelirukan semua pihak samaada SSPA ini diguna pakai kepada ATM dan Veteran ATM atau tidak.

Yang membuat kita lagi keliru, rujuk balik Teks Ucapan PM semasa Pembentangan Bajet 2025 di muka surat 132 di perenggan 292 seperti berikut:

"292. Selaras dengan SSPA, pelarasan pencen juga akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan pelarasan peratusan ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing termasuklah pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM)."

Kenyataan diatas juga agak keliru sama ada ATM akan mengunakan SSPA atau tidak dan sama ada peratusan pelarasan akan di kira mengikut gaji akhir atau pencen terakhir.

KEEMPAT

Pada 6hb Nob 2024 pula Menhan telah mengumumkan selari dengan kenaikan gaji SSPA, penyelarasan pencen juga akan dibayar kepada veteran ATM sebanyak 15% secara berfasa mulai bulan Disember 2024. Beliau berkata veteran yang bersara sebelum Jan 2013, mereka akan di bayar sebanyak 8% pada bulan Dis 2024 berdasarkan gaji akhir yang bersamaan pada tahun 2012, dan di ikuti oleh 7% yang akan di bayar pada awal tahun 2026.

Persoalan pertama yang timbul adalah, adakah yang bersara sebelum Jan 2013 sahaja yang akan dapat 8% pada bulan Dis 2024 ini? Soalan kedua, adakah ini bermaksud mereka yang bersara selepas 2013 akan hanya dapat penyelarasan pencen 2024 mereka sebanyak 7% pada awal tahun 2026 bersama-sama yang bersara sebelum Jan 2013?

Jika soalan pertama jawapannya "ya". Soalan baru akan timbul. Adakah kenyataan menteri ini bererti kerajaan akui bahawa keputusan mahkamah kes Mior Rosli & 49 yang lain itu benar? Jika benar, kenapa kerajaan merayu terhadap keputusan itu? Kalau kerajaan akui keputusan mahkamah 2023 itu betul, kenapa tidak bayar sahaja peyelarasan pencen 2013 itu? Tarik balik rayuan yang dibuat dan bayar sahaja penyelarasan 2013 dahulu, kemudian pada bulan Dis 2024 bayar semua veteran mengikut formula yang ada di dalam PU(A)123 bth 1982 (Pindaan jika ada).

Bagi soalan kedua, bererti yang bersara selepas 2013 hanya akan dapat 7% dan bukannya 15%. Ini juga bertentangan dengan peraturan pencen ATM yang terdapat dalam PU(A)123 di mana penyelarasan hendaklah di buat selari dengan dalam tahun kenaikan gaji mereka yang berkhidmat. Buka tunggu selama dua (2) tahun selepas gaji naik baru nak diselaraskan.

Soalan yang paling penting, jika kerajaan akui yang mereka yang bersara sebelum 2013 perlu di bayar dulu berdasarkan gaji terakhir bersamaan 2012, Tidakkah perkiraan akan menjadi rumit sekiranya penyelarasan tahun 2013 di akui oleh Mahkamah Rayuan nanti?

Jika mengikut undang2 penyelarasan pencen, ianya mesti di bayar di tahun yang sama dengan kenaikan gaji mereka dalam perkhidmatan. Saya rasa kerajaan lupa atau sengaja hendak lupakan bayaran "backdated". Bayaran backdated perlu di bayar kerana penyelarasan pencen hendak lah bermula pada tarikh yang sama kenaikan gaji mereka yang dalam perkhidmatan.

KESIMPULAN

Sepatutnya penyelarasan bagi yang bersara sebelum 2013 sahaja di buat dulu. Seperti perintah mahkamah. Lepas itu baru di selaraskan semua veteran. Baru betul. Saya malas cakap banyak sebab ramai yang bijak pandai tapi dia tidak lihat isu secara holistik.

Kalau penyelarasan 2013 tak buat, macam mana nak selaras 2024? Kerajaan guna kiraan peratus bukan dengan nilai angka. Kalau bayar untuk 2024 dengan jumlah angka RM (cth RM 500), senang bila nak bagi penyelarasan 2013 jika Mahkamah Rayuan setuju dengan mahkamah tinggi nanti.

Pada logiknya jika nak bagi peratusan penyelarasan pencen untuk 2024, kerajaan mesti terlebih dahulu selaraskan pencen yang tidak di selaraskan pada tahun 2013.

Penyelarasan harus di buat berdasarkan nilai pencen terakhir yang telah di selaraskan bagi yang bersara sebelum 2013. Bukan ikut gaji terakhir sebelum dia bersara. Baru betul. Kalau tidak, yang bersara sebelum 2013 akan rugi banyak. Terlalu banyak?

Saya tak tahulah, sama ada saya yang bodoh kira2 atau mereka sengaja nak tipu kita kerana mereka ingat kita semua bodoh dan terima sahaja apa mereka bagi.

Jika kerajaan tidak mahu tarik balik rayuan mereka, kita tunggu sahaja pembicaraan dan keputusan mahkamah Rayuan pada January 2025. InsyaAllah Mahkamah akan faham maksud saya.

Hujah saya ada banyak lagi kerana saya berhujah berdasarkan kepada undang-undang bertulis dan undang-undang yang di putuskan oleh mahkamah. Tetapi saya rasa cukuplah setakat ini.

Sekian, Wassalam.

Mej Mior Rosli @MMR

8hb Nob 2024

No comments:

Post a Comment

I do not aim to please anyone. This is my blog, there is no blog like this. I am not mainstream. Read my disclaimer before posting comments and threatening me. Not to worry, I will not quiver in my boots. If you are not happy, no problem, just take a hike!!