Pada 11 Ogos 2022, SPRM mengeluarkan kenyataan yang badan tersebut
telah melengkapkan siasatannya ke atas individu yang dikaitkan dengan
skandal LCS ini, dengan kertas siasatan sudah pun diserahkan ke Pejabat
Peguam Negara (AGC) dan SPRM telah membuat cadangan mengenai tuduhan
yang patut difailkan terhadap individu-individu ini dan sedang menanti
arahan seterusnya selepas AGC meneliti kertas siasatannya.
Dalam beberapa hari kemudian, SPRM membiarkan rakyat Malaysia untuk
percaya yang tuduhan akan dibuat terhadap individu dalam skandal LCS.
Dalam pertengahan bulan Ogos, bekas pengarah urusan merangkap naib
pengerusi eksekutif Boustead Naval Shipyard (BNS), Ahmad Ramli Mohd Nor,
telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah
amanah (CBT) yang melibatkan RM21.08 juta di bawah Seksyen 409 Kanun
Keseksaan.
Namun, ketiga-tiga pertuduhan terhadap Ahmad Ramli ini berasal dari
sebelum skandal LCS dan tidak mempunyai kaitan dengan skandal ini,
sebaliknya berkaitan dengan projek perolehan ketenteraan yang lain.
Surat Anugerah (LOA) pembekalan enam buat LCS pada nilai RM9 billion
dikeluarkan pada 16 Disember 2011 tetapi ketiga-tiga tuduhan terhadap
Ahmad Ramli ini adalah untuk perkara yang berlaku sebelum LOA ini
dkeluarkan.
Walaupun dengan kenyataan berulang saya meminta Ketua Pesuruhjaya
SPRM untuk menjelaskan mengapa tiga pertuduhan terhadap Ahmad Ramli ini
tidak berkaitan dengan skandal LCS, Azam memilih untuk berpura-pura
“pekak, buta, dan bisu”, membiarkan orang terpedaya dengan gambaran yang
kononnya ketiga-tiga tuduhan terhadap Ahmad Ramli adalah berkaitan
dengan skandal LCS.
Bagaimanapun, pada 8 September, Azam mengatakan yang SPRM memerlukan
lebih banyak masa untuk menyiasat skandal LCS ini kerana SPRM memerlukan
masa untuk memanggil lebih ramai saksi, termasuklah beberapa orang yang
berada di luar negara.
Apakah sebabnya untuk kenyataan bercanggah dari SPRM ini – mengatakan
pada 11 Ogos yang SPRM telah melengkapkan siasatannya sebelum
menyanggah kenyataan ini pula pada 8 September dengan mengatakan yang
SPRM memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat skandal LCS ini?
Adakah Azam akan terus berpura-pura “pekak, buta, dan bisu” dalam perkara ini?
Bolehkah Azam Baki menjelaskan mengapa SPRM gagal mengambil tindakan
terhadap sesiapa pun mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion
ini walaupun mereka telah menerima dua laporan siasatan mengenai skandal
ini – laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan
Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) LCS yang dipengerusikan oleh Ketua Audit
Negara ketika itu, Ambrin Buang, dan laporan audit forensik perolehan
LCS (2011-2014) yang dilaksanakan oleh Alliance IFA (M) Sdn. Bhd. bagi
pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) – yang mengandungi
pelbagai perkara yang boleh membawa pertuduhan rasuah, salah guna kuasa,
pecah amanah, salah laku, dan penipuan?
Adakah SPRM telah mencadangkan supaya Presiden UMNO, Zahid Hamidi,
didakwa di mahkamah kerana mengubah keputusannya sendiri sebagai Menteri
Pertahanan pada tahun 2011 yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) – untuk menempah enam buah LCS Sigma buatan
Belanda – kepada memilih LCS Gowind buatan Perancis dari pengeluar
Scorpene tanpa merujuk dahulu perkara ini dengan pihak TLDM sebagai
pengguna akhir kapal-kapal ini?